Friday 1 March 2013

IRONI







PROLOG

            Mencintai itu menyakitkan.

            Dicintai itu lebih menyakitkan.

            Najwa mengangkat muka. Pandangannya jatuh ke atas seorang gadis yang sedang duduk di hadapannya. Tren yang bergerak laju itu sunyi dengan hanya beberapa orang penumpang sahaja di dalamnya.

            Dia bermonolog sendiri tetapi suara hatinya itu seakan ditingkah walaupun tiada sebarang suara yang kedengaran di situ. Gadis di hadapannya seakan hanyut di dalam dunianya sendiri. Diperhatikan gadis itu lagi.

            Cantik. Berambut panjang dan dibiarkan jatuh lepas di atas bahu. Telinganya tersumbat dengan earphone. Matanya tampak penat, sakit ataupun keliru. Entahlah. Najwa tidak ada jawapan untuk mentafsir semua itu.

            Mencintai itu lebih susah kerana terpaksa berkorban hati kepada orang yang dicintai.

            Tak! Dicintai itu lebih susah kerana hati telah diambil tetapi tidak dipulangkan kembali.

            Sekali lagi Sera melihat gadis yang berada di hadapannya memandang ke arahnya. Sebuah senyuman diukirkan. Sera membalas seadanya kemudian pandangannya dilarikan  ke sebelah.

            Gadis yang berambut pendek itu nampak aktif. Seolah-olah seperti melihat seorang atlet. Sewaktu dia tersenyum tadi, lesung pipit yang tersembunyi di pipi kiri menunjukkan diri. Dari luarannya, nampak seperti dia seorang gadis yang cepat mesra dengan orang lain.

            Bunyi pengumuman ketibaan di stesen mematikan lamunan Najwa dan Sera. Mereka berdua bangun dari kerusi masing-masing lalu keluar mengikut arah yang berbeza. Mereka hanyalah sebahagian daripada manusia yang bertembung antara satu sama lain dalam proses menjalani kehidupan.

            Jangan terlalu membenci, kelak akan menyayangi.

            Jangan terlalu mencintai, dikhuatiri akan menghindari.

No comments:

Post a Comment