Saturday 2 February 2013

100 Cara Mencintaimu



BAB 4



            Dua puluh dua: luahkan perasaan melalui sesuatu yang dia suka

            Azlan melarikan tetikus mencari folder yang dimaksudkan oleh Ameera. Minggu lepas, Ameera telah meminta dia menyemak program yang telah dilakukannya. Perlahan Azlan membuka folder tersebut lalu menekan butang run ke atas ikon yang tentera.

            Tentera di skrin bait-bait ayat “Saya sukakan awak Azlan!” memenuhi desktop. Azlan tergamam. Matanya dialihkan kepada Ameera yang berada di hadapan.

            “Kenapa?” soal Ameera setelah menyedari perubahan riak wajah Azlan.

            “Keluar ni,” Azlan menghadapkan skrin kepada Ameera. Gadis itu tertawa selamba sebelum menyambung, “Silap folder. Cuba abang tengok folder sebelah,”.

            Azlan mengikut kata-kata Ameera. Program yang dimaksudkan akhirnya diketemui tetapi dengan denyutan jantung yang lebih kencang. Lebih menghairankan gadis itu hanya mempamerkan riak wajah selamba seolah-olah perkara itu hanyalah normal semata.

            Azlan berjalan tergesa-gesa bersama Ejoe di sisinya. Mereka baru sahaja habis kelas pada petang itu. Nasib ternyata tidak menyebelahi mereka kerana hujan lebat turun secara tiba-tiba setengah jam yang lalu.

            “Macam mana nak balik ni?” soal Azlan kepada Ejoe.

            “Baju hujan kan ada. Tunggu hujan reda sikit,kita redah la,” balas Ejoe sambil berjalan menuruni tangga. Langkah terpaksa diperlahankan kerana bimbang tergelincir pada waktu begini.

            “Aku lupa nak letak la, semalam aku keluarkan masa aku basuh motor,” keluh Azlan.

            “Pulak. Kalau macam tu kena tunggu hujan berhenti la,” Azlan mengerling jam di tangannya apabila mendengarkan jawapan Ejoe. Waktu sudah beranjak ke pukul 6.30 petang.

            Dalam mereka berdua melangkah, tanpa disedari mereka telah sampai di kawasan Azlan memarkir motor. Ejoe menghampiri motorsikal kawannya apabila terdapat sesuatu yang menarik perhatiannya.

            “Alan, sini!” pintanya kepada kawannya yang masih memandang langit seolah-olah sedang mencari petunjuk bilakah hujan akan berhenti. 

            “Bisinglah kau ni. Bukannya boleh balik sekarang pun,” balas Azlan sambil berjalan malas ke arah kawannya. Dia terkejut apabila melihat dua helai baju hujan berada di dalam raga motorsikalnya.

            Azlan membaca sekeping kertas yang terselit di antara baju hujan tersebut, “Lain kali sediakan payung sebelum hujan. Ehhh, baju hujan sebelum hujan – Meera”.

            Azlan memandang ke arah Ejoe. Rakannya itu hanya mengangkat bahu sambil tersenyum.

            Tiga puluh lapan: bantu dia masa dia susah

            Ameera tersenyum sendirian Dia teringat reaksi Azlan apabila menerima kek cawan buatannya. 5 biji kek cawan yang ditulis dengan krim perkataan ‘I LOVE U’ merubah muka Azlan menjadi merah padam. Rancangan ke empat puluh satunya berjalan dengan lancer apabila lelaki itu membawa kek tersebut masuk ke dalam rumah.

            Dengan bantuan risikan daripada Ejoe, kek tersebut ternyata habis dimakan oleh Azlan seorang. Adakah ini petanda bahawa lelaki itu telah membuka pintu hati untuknya? Mungkin Azlan akhirnya akan sedar bahawa dia sebenarnya telah terpaut hati pada juniornya yang nakal ni?




            Ameera tekun menulis di atas kertas kosong berwarna hijau. Orang ramai yang berada di sekelilingnya langsung tidak mengganggu konsentrasinya. Perkiraan matematik itu lebih penting daripada segala-galanya. Dia seolah-olah telah hanyut di dalam dunianya sendiri.

            “Budak kecik!” Ameera mengangkat muka. Dia tersenyum apabila melihat Ejoe sudah pun melabuhkan punggung di hadapannya.

            “Baru habis lab eh?” soal Ameera setelah mengerling jam di tangannya. Sudah menjadi rutin bagi pelajar untuk datang mencari makanan sebaik sahaja habis kelas di awal pagi.

            “Meera lagi hafal jadual kelas daripada kitorang. Ada kelas ke? Biasanya tak pernah nampak pun?” soal Ejoe. Dia mula menyedut teh ais yang dibawanya bersama tadi.

            “Ada kelas ganti pukul 8 sampai 9 tadi. Kejap lagi pukul 11 ada lecture pulak,” balas gadis itu.

            “Okay, malam ni kita jumpa kat library. Pukul 8.30,” suara perempuan yang sedang berjalan di belakang Ejoe menarik perhatiannya. Azlan yang sedang berjalan bersama gadis itu tadi berhenti di meja itu sebaik sahaja Ejoe duduk di itu.

            “Ok,” Azlan mengangguk sambil duduk di sebelah kawannya. Gadis itu melemparkan senyuman lalu berlalu dari situ.

            Siapa tu? Siapa tu? Kenapa dada tiba-tiba rasa terbakar ni?

            “Eh Meera. Buat apa kat sini?” tegur Azlan. Tangannya sibuk menarik pinggan yang berisi nasi goreng yang berada di hadapan Ejoe.

            “Tunggu kelas,” balasnya sepatah.

            Ejoe segera menepis tangan kawannya itu. “Bangun beli sendiri boleh kan?” Ameera tertawa melihat telatah kedua-dua lelaki di hadapannya itu. Saling menarik pinggan yang berisi nasi.

            “Orang ramai la. Break kejap je ni. Kalau sempat beli pun, mesti tak sempat makan,” protes Azlan pula.

            “Meera ada ni,” Ameera menyeluk tangan ke dalam begnya lalu meletakkan sekotak air susu berperisa strawberry.

            “Susu lagi?”

            “Ambil je lah buat isi perut. Lepas ni kan kelas full,” pujuk Ameera. Azlan mengangkat keningnya. Dengan muka terpaksa, dia mencucuk straw ke dalam minuman di hadapannya itu.

            Ameera tersenyum kelat. Di hatinya masih memikirkan gerangan gadis tadi.




            Dari pandangan sisi, Ameera nampak Azlan dan gadis petang tadi itu sedang berbual mesra. Dia bersembunyi di sebalik rak buku untuk mengelakkan daripada dilihat oleh sesiapa. Hatinya terasa cemburu. Padahal Azlan memang sentiasa begitu dalam melayani sesiapa sahaja.

            Ameera kembali ke tempat duduknya yang selang 3 buah meja dari meja Azlan. Dia turut datang perpustakaan untuk mengetahui lebih lanjut apa hubungan Azlan dengan gadis itu.

            Gilalah aku ni. 

            Buku yang terbuka di atas meja dipandang sepi. Langsung tiada mood untuk membacanya. Fikirannya melayang jauh hanya hanya kerana lelaki itu. Dia baru teringat yang kebelakangan ini Azlan sering pulang lewat setiap malam Khamis.

            Aku ni dah macam penyiasat kes suami curang ni. Tapi dia bukan suami aku. Habis? Kes menyiasat crush-yang-dah-reject-saya-tapi-saya-masih-lagi-mahu-berusaha-untuk-mendapatkan-dia. Hehe.

            “Meera buat apa kat sini?” lamunannya terhenti apabila melihat Azlan kini berada di hadapannya.

            Aiyyya. Mission failed! 

            “Meera..buat apa kat sini?” Azlan mula melabuhkan punggung di hadapannya. Dia bersuara perlahan kerana tidak mahu mengganggu konsentrasi pelajar lain yang berada di situ.

            “Nama lagi library, mestilah study,” balas Ameera sambil tersenyum.

            “Yelah. Dari tadi lagi muka surat ni tak beralih lagi. Meera spy abang eh?”

            “Mana ada!” balas Ameera kalut.

            “Ada.” Azlan bangun dari kerusi. Wajahnya tidak menunjukkan sebarang riak. Perempuan yang tadi bersama dengannya datang menghampiri mereka.

            “Alan, kerja kita dah siapkan. Aku balik dulu ye?”

            Diorang cakap aku kau? Fuhhh lega.

            “Ok. Kita present lusa kan. Kalau ada apa-apa lagi nak tambah, inform aku esok,” gadis itu melemparkan senyum kepada Azlan dan juga Ameera. Azlan membalas senyuman gadis itu namun cepat mukanya berubah ketat.

            “Meera, jom balik. Dah pukul 10 ni,” arah Azlan. Ameera hanya mengangguk perlahan.

            Aku tak pernah tengok Alan buat muka macam ni. Cuaknyaaa.

            Mereka berdua diam sepanjang perjalanan. Tiada sepatah perkataan pun yang keluar dari mulut Azlan mahupun Ameera.

            “Thanks,” Ameera menghulurkan topi keledar kepada Azlan sebaik sahaja mereka berdua turun dari motorsikal Azlan.

            “Tunggu kejap, abang nak cakap,” Azlan menghalang langkah Ameera daripada terus maju menuju ke rumahnya. Gadis itu ternyata patuh. Tercegat menunggu bait-bait patah perkataan yang bakal keluar.

            “Jujur abang cakap yang abang rasa rimas bila Meera buat abang macam ni. Meera ikut abang tadi kan? Meera cemburukan perempuan tu kan?” Ameera tunduk. Tidak mampu berkata apa-apa kerana suara Azlan kedengaran lebih tegas daripada biasa.

            Azlan meraup rambutnya ke belakang. Dalam suram cahaya bulan, nampak wajah Ameera berkerut menahan tangis.

            “Abang nak mintak satu je dari Meera. Tolong Meera. Tolong…jangan kacau abang lagi,” serentak dengan mengucapkan perkataan itu, Azlan melangkah pergi meninggalkan Ameera.

BERSAMBUNG………

No comments:

Post a Comment