Saturday 12 January 2013

Impian





Aqram mendongak melihat langit. Dia cuba mengira bintang yang bertaburan di atas langit. Berkelipan menghiasi dada langit yang kelam di kala malam menjelma.

            “Mustahil,” getusnya perlahan tetapi masih mampu didengari oleh Ariyana. Gadis di sebelahnya berpaling ke arahnya. 

            “Apa yang mustahil?” soalnya mulus. Sang jejaka berpaling lalu melemparkan senyuman. Ketika itu mereka berdua sedang berbaring di atas rumput, menyaksikan keidahan alam. 

            “Mengira bintang di langit dan menjumlahkannya dengan tepat,” Ariyana tertawa kecil mendengarkan jawapan itu.

            “Tiada yang mustahil di atas dunia ini Aqram. Kita rasa bukit ini tinggi, seperti tiada daya upaya untuk sampai ke puncaknya. Tetapi lihatlah sekarang, kita sudah pun berada di atas, menawan puncaknya,”

            Aqram diam. Tidak mengiakan dan tidak juga menidakkan. Hanya deru angin malam yang mencuri hembus ke arah sepasang manusia yang sedang berbicara dalam kegelapan.

            “Aku ada impian. Aku mahu dikenali, dikagumi dan diingati oleh semua orang,” getus Ariyana memcahkan kesunyian.

            “Kau berjiwa besar Ariyana. Tak semua orang mempunyai impian sebesar kamu,” terselit nada kagum dalam suara Aqram.

            Ariyana tertawa kecil sebelum menyambung, “Bagaimana dengan kau? Apa yang kau impikan dalam hidup ni Aqram?”

            “Memiliki kau,” balas Aqram jujur. Ariyana segera bangkit apabila mendengarkan jawapan itu.

            “Aku harap kau segera berhenti bermimpi,” balasnya senada.

            “Kalau kau boleh bermimpi? Kenapa tidak aku?” dalam kelam, Ariyana melihat sinaran mata Aqram yang tampak berkaca-kaca.

            “Aku nampak jalan untuk mencapai impian aku. Tetapi untuk impian kau itu, aku minta maaf terlebih dahulu. Kau tidak akan pernah berpeluang,” balas si perawan, tegas.

            “Kalau tidak mustahil untuk mengira bintang, kenapa aku perlu berhenti mengejar hatimu?”

            “Sebab hatiku tidak pernah berlari,” Ariyana tertawa. Meredakan situasi yang mulai tegang. Sejujurnya, dia gentar dengan pengakuan temannya itu.

            “Ariyana, aku serius,”

            “Kalau begitu, aku ucapkan selamat mencuba untuk menggapai impian kau itu,” balas si gadis dalam senyuman.

            Ariyana yang sedang mencoret warna di atas kanvas putih terhenti pergerakan tangannya itu. Telinganya menangkap bunyi ketukan di pintu hadapan. Dia bangun dari bangku lalu berjalan keluar. Peralatan lukisan yang bersepah di atas lantai menyukarkan pergerakannya.

            Terpacul wajah Aqram di muka pintu sebaik sahaja dia membuka pintu.

            “Hai! Aku tak tahu pulak sekarang ni dah ada blusher warna kuning kat kedai,” serentak dengan itu dia menyapu lembut warna kuning yang terlekat di pipi si gadis.

            “Kalau kau datang tanpa tujuan, lebih baik kau balik. Aku banyak lagi lukisan yang aku kena siapkan,” Ariyana menolak pintu tetapi Aqram sempat menghalangnya dengan tangan.

            “Aku datang untuk berbicara tentang impian,” Aqram memaniskan wajahnya.

            “Impian aku atau impian kamu?” Ariyana berpeluk tubuh.

            “Boleh tak kita bercakap dengan selesa? Duduk di atas sofa misalnya,” balas Aqram bersahaja. Ariyana merentangkan tangannya, mempersilakan tetamu masuk.

            “Ariyana, aku dah tahu. Aku kahwin dengan kau, kemudian aku pindah masuk ke sini. Aku cari kerja dan kita akan bina kehidupan di sini,” katanya bersemangat.

            “Kenapa? Apa yang dah berlaku?” balas si gadis tenang.

            “Tiada apa yang berlaku. Aku Cuma mahu hidup dengan kau. Itu saja,”

            Ariyana menggeleng. “ Berterus-teranglah Aqram. Aku dah lama kenal kau,”

            “Ayah aku sudah tetapkan perkahwinan dengan Lydia. Aku tak mahu Ariyana. Sudah beberapa kali aku katakan padanya yang aku hanya akan berkahwin dengan seorang gadis saja, iaitu kau,”
            “Jadi?”

            “Aku mahu pergi. Aku akan berkorban untuk mencapai impian aku, seperti mana yang telah kau lakukan,”

            “Jalan hidup kita berbeza Aqram. Ibu aku meninggal dunia kerana HIV. Ayah aku mengalami kemurungan lalu meninggal dunia kerana dia langsung tidak mempedulikan kesihatannya. Rumah ini adalah satu-satunya harta peninggalan mereka. Aku tahu aku tidak mempunyai masa yang lama sebab itulah aku mahu menghabiskan hidup aku dengan mengejar impian aku. Aku tidak mahu kau kecewa Aqram,” lirih Ariyana menjelaskan.

            “Sekurang-kurangnya berilah aku kesempatan untuk membahagiakan kau. Itulah impian aku Ariyana,”

            “Tak semudah itu Aqram. Keluarga kau pasti tidak akan menerima aku,”

            “Kenapa perlu memikirkan tentang orang lain? Cukuplah hanya kau dan aku. Kita akan bahagia bersama,”

            “Kita tidak akan bahagia kerana aku tidak menyintai kau,” Ariyana memalingkan wajahnya.

            “Bohong. Pandang mata aku dan katakan yang kau tidak menyintai aku. Tidak pernah. Walaupun sedikit,” tutur Aqram perlahan.

            Ariyana bangun dari kerusi, “Seperti yang aku katakan tadi, aku ada banyak lukisan yang perlu disiapkan. Kau boleh duduk di situ kalau kau mahu. Jangan lupa tutup pintu bila keluar,” dia berlalu meninggalkan Aqram di situ.

Di bilik, Ariyana termenung. Gambar arwah ibu bapanya yang berada di dalam bingkai gambar ditatapnya. Bunyi hempasan pintu depan mengejutkannya. Aqram telah pergi. Atas permintaan dirinya. Air matanya mengalir perlahan membasahi pipi. Membasuh calitan warna kuning yang masih tertinggal di pipi selepas disapu oleh Aqram tadi.


Aqram termenung di dalam kereta. Pemandunya sedang membawa dirinya ke majlis perkahwinannya dan Lydia. Majlis akad nikah akan bermula sebentar lagi. Aqram terpaksa akur dengan permintaan ayahnya.

“Pemenang pertandingan lukisan pada tahun ini jatuh kepada pelukis yang bernama Suci Embun. Gadis ini melakarkan lukisan burung merpati yang merupakan simbolik kepada kebebasan dalam hidup. Tahniah diucapkan kepada Saudari Suci Embun,” 

Aqram tersentak mendengarkan pengumuman di dalam radio itu. Dia meminta pemandunya menukar arah menuju ke hospital. Impian gadis itu telah tercapai, sekarang dia mahu membuktikan yang dia juga mampun untuk mencapai impiannya.

Sampai di hospital, dia bergegas menuju ke wad yang dikhaskan untuk pesakit HIV. Keadaan buah hatinya itu sudah terlalu tenat sehingga memerlukannya untuk berada di hospital.

“Ariyana,” seru Aqram yang termengah- mengah dalam persalinan lengkap berwarna putih.

“Kenapa kau datang lagi? Berapa kali perlu aku cakap yang aku tak mahu melihat kau lagi,” Ariyana memalingkan mukanya.

Aqram menggenggam tangan Ariyana. Dia mengeluarkan cincin di dalam kocek baju melayunya.

“Sejak dari hari pertama aku mengenali kau, aku tidak pernah ingat bilakah dalam detik hidup aku, aku tidak menyintai kau,” air matanya mengalir perlahan. Menitik di atas tangan si gadis.

Ariyana tersentak. Dia tidak mampu menyembunyikan tangisannya lagi. Hatinya hancur luluh mendengarkan kata-kata Aqram.

“Dah terlambat Aqram,”

“Tidak. Kita boleh berkahwin sekarang,”

“Kau gila,” tanpa mempedulikan kata-kata Ariyana. Aqram meminta supaya dipanggilkan kadi dan beberapa orang lelaki dewasa untuk dijadikan saksi.

Dengan sekali lafaz, Ariyana sah menjadi isteri Aqram. Terketar-ketar tangan Aqram saat dia menyarungkan cincin di jari Ariyana yang sejuk dan dingin itu.

“Aku sayangkan kau, Aqram,” bisik Ariyana perlahan.

Tiba-tiba pernafasan Ariyana tidak stabil. Mukanya pucat dan matanya nampak lemah. Maut datang menjemputnya tanpa bertangguh walau sesaat pun. Air mata Aqram mengalir laju umpama empangan pecah. Kakitangan hospital yang masih lagi berada di situ terharu melihatkan peristiwa itu.

40 tahun selepas itu

            Aqram membersihkan kubur isterinya. Setiap hari dia tidak pernah lupa untuk menjenguk pusara itu.

            “Sayang, impian mu sudah tercapai. Lukisan mu kini sedang dibida di dunia. Siapa yang dapat menawarkan harga yang tertinggi akan dapat memilikinya. Benarlah kata kau dulu, tiada apa yang mustahil di dunia ini. Seperti mana impian aku dan aku,”

         

No comments:

Post a Comment