Sunday 25 November 2012

Aku Tiada Tega Membuat Dia Terluka




Melisa melipat kertas kuning yang dipegangnya sehingga membentuk origami berbentuk angsa. Diletakkan hasil tangan yang telah siap itu di atas meja. Tersusun atur beberapa angsa buatan itu yang terdiri daripada pelbagai jenis warna.

                “Mel, kau ok tak? Dah seminggu aku tengok kau asyik lipat kertas buat angsa. Dah bersepah atas meja kau tu dengan origami ni,” tegur Suria, teman sebiliknya.

                “Maaflah kalau aku dah buat bilik ni bersepah,” balas Melisa perlahan.

                “Bukan sebab tu Mel. Aku tegur sebab aku risau tengok keadaan kau. Kau dengan Fitri gaduh ke? Dah lama aku tak Nampak korang keluar berdua,” soal Suria prihatin.

                Sunyi. Melisa mencapai sehelai kertas berwarna hijau lalu melipatnya tekun seperti mana rutin hariannya sejak dua minggu yang lalu. Habis kelas sahaja, dia akan pulang ke bilik dan membentuk origami tersebut. Masanya banyak dihabiskan dengan melakukan kerja tersebut sahaja.

                “Su, kau pernah dengar tak, kalau kita lipat 1000 angsa kertas, permintaan kita akan ditunaikan?”

                Suria yang sedang menghadap computer riba mengalih pandangan kepada Melisa. Dahinya berkerut tanda kehairanan.

                “Itu dalam cerita je la Mel. Jangan cakap kau percaya dengan semua tu?”

                Senyum. Namun senyuman Melisa nampak kaku. Mati. Bukan dari hati.

                “Aku sedang cuba memberi harapan palsu kepada diri aku…”

                “Kau ada masalah ke sebena…….”

                Bunyi deringan telefon mengganggu perbualan mereka. Melisa mencapai telefon tersebut, melihat skrin, menarik nafas panjang, kemudian barulah menekan butang jawab.

                “Hello Amin. Pukul 5 petang ni, kat tasik depan fakulti. Ok, bye.”

                “Kau ada discussion dengan Amin ke?” soal Suria.

                “Tak. Date,”

                Melisa melontarkan pandangannya jauh ke dalam tasik. Dibiarkan angin yang bertiup mesra memeluk tubuhnya. Jasadnya ada di situ, tetapi tidak hatinya. Sesusuk tubuh lelaki datang menghampirinya dari jauh. Tanpa dijemput, lelaki itu duduk di atas bangku, di sebelah Melisa.

                “Saya ada hal penting nak cakap pada awak,” ucap Fitri perlahan tanpa memandang Melisa. Mereka berdua static menghadap tasik tanpa menoleh kepada satu sama lain.

                “Saya bagi awak 5 minit,” tutur Melisa senada.

                “Saya rasa saya dah tawar hati dengan awak Mel,” Fitri menelan air liur. Terasa sukar untuk mengungkapkan kata-kata tersebut.

                Melisa tersenyum sinis. Air matanya bergenang di kelopak mata namun masih mampu dikawalnya.

                “Awak buatlah apa yang awak nak Fitri. Saya dah tak kisah. Saya dah bosan dengan sikap awak,”

                “Baguslah. Saya harap awak tak kisah bila lihat saya bersama dengan Ain nanti,”

                Air mata yang cuba ditahan jatuh juga apabila si gadis yang bernama Ain datang menghampiri mereka.

                “Saya menyesal mengenali awak!” kata Melisa. Fitri menundukkan wajahnya. Sementara Ain menarik tangan Fitri, mengajaknya pergi dari situ.

                “Mel, jangan menangis lagi. Saya sentiasa ada di sini untuk awak.” kehadiran Amin di situ menghentikan pergerakan Fitri dan Ain. Fitri menoleh. Memandang Amin dan seterusnya melihat ke arah Melisa.

                “Apa makna semua ni Mel? Selama ni awak ada hubungan sulit dengan dia rupanya?” soal Fitri.

                “Kenapa kau nak tanyakan semua ni lagi? Kau tak berhak Fitri. Kau sedar tak yang selama ni kau layan Melisa macam sampah? “hentam Amin.

                “Mel? Apa semua ni?” ternyata Fitri masih tidak berpuas hati.

                “Ya, selama ni memang saya ada hubungan dengan dia. Awak tahu tak yang awak tak pernah hargai saya. Kalau awak tak minta untuk putuskan perhubungan kita hari ni, saya yang akan ungkapnya pada awak,” balas Melisa dalam tangisan.

                “Semoga awak bahagia, Melisa,” tutur Fitri lalu berlalu dari situ bersama Ain.

                “Kenapa kau buat Melisa macam tu, Fitri?” soal Ain kepada Fitri yang diam sejak dari tadi. Selepas pertemuan dengan Melisa petang tadi, Fitri hanya membisu seribu bahasa.

                “Sebab aku sayangkan dia,” ucap Fitri lemah.

                “Kalau sayang kenapa tinggalkan dia? Kenapa biarkan dia pergi dengan orang lain?”

                “Kau tak faham keadaan aku, Ain,” air mata Fitri mula mengalir perlahan. Ain terdiam. Inilah kali pertama dalam hidupnya, dia melihat seorang lelaki menangis kerana seorang wanita.

                “Aku ada barah Ain. Paling lama aku boleh survive pun dua bulan lagi. Aku tak nak Mel sedih bila aku dah tak ada. Lebih baik aku sakitkan hati dia sekarang. Biar dia ingat aku ada perempuan lain, jadi dia akan ada alasan untuk benci aku. Aku tak nak dia habiskan sisa hidup dia dengan meratapi pemergian aku,” 

                Ain tersentak. Dia cuba mencari kata-kata yang sesuai untuk dituturkan kepada Fitri. Namun lelaki itu lebih cepat melontarkan suara.

                “Tapi aku lega sekarang. Sekurang-kurangnya aku tahu dia dah ada Amin. Aku harap Amin boleh jaga dia lebih baik daripada aku. Aku harap Melisa bahagia dengan hidupnya dan lupakan aku. Biarlah aku hanya menjadi sejarah silam yang penuh kepahitan kepada dia,”

                “Tapi, tak adil untuk kau Fitri,”

                “Kau rasa hidup ni adil ke Ain?”

                Seketika, mereka berpandangan.

                Melisa menyapu matanya yang basah. Mukanya mula merah dan matanya nampak bengkak akibat tangisan yang tiada henti-hentinya sejak dari tadi.

                “Thanks sebab tolong aku tadi,” kata Melisa lemah. Amin yang berada di sebelahnya hanya diam. Pandangannya beralih dari tasik ke muka si gadis.

                “Apa sebenarnya yang berlaku?” soal lelaki itu meminta kepastian.

                “Hari tu, aku ternampak laporan kesihatan Fitri. Dia sengaja sorokkan benda tu dari aku, tak nak bagi aku tahu. Tapi hari tu aku terjumpa benda tu,”

                “Apa yang tertulis dalam report tu?”

                Melisa menelan air liur. Digagahkan dirinya untuk menjawab soalan tersebut.

                “Fitri ada barah. Dia dah tak dapat bertahan lama lagi. Dia hanya ada masa dua bulan lagi hidup,”

                “Serius??”

                “Aku tahu dia tak nak bagi tahu aku sebab dia tak nak aku sedih. Dia tak nak tengok aku menangis bila dia dah tak ada nanti. Aku tahu dia tak ada apa-apa hubungan dengan Ain. Aku tak sangka pulak dia akan buat macam ni. Tapi aku faham sebab dia buat macam tu,”

                “Habis tu kenapa kau nak aku menyamar jadi teman lelaki kau?”

                “Sebab aku tak nak dia rasa bersalah sebab tinggalkan aku. Biar dia ingat yang aku dah ada pengganti. Aku nak dia habiskan sisa-sisa hidup dia dengan tenang tanpa memikirkan tentang aku.” Sambung Melisa dalam sendu.

                “Kau tau tak yang kau dah seksa diri kau Melisa?” keluh Amin.

                “Tapi Melisa berhak tahu perkara sebenar, Fitri,” bantah Ain.

                “Aku tiada tega membuat dia terluka,” balas Melisa dan Fitri. 

                Serentak. Dalam ruang tempat yang berbeza namun pada waktu yang sama. Bila dua hati sudah bersama, susah untuk meleraikannya.

2 comments:

  1. hurmmm... cerita yg bagus, tak meleret, pack sgt, cuma ending tu aku terfikir...

    “Aku tiada tega membuat dia terluka,” balas Melisa dan Fitri

    lama aku fikir... ohh... kebetulan mereka bercakap ayat yg sama ke?

    ReplyDelete
  2. urm pack sangat sebab nak buat dalam satu episode je. huhu. yer, kononnya ayat tu maca scene dalam drama je :)

    ReplyDelete