CANTIK...!
Lydia
menatap pantulan wajahnya di cermin. Walau berkali dilihat,langsung tiada
bezanya. Dia tetap cantik. Cantik seperti biasa. Bebola matanya yang berwarna
hitam tampak galak meliar di setiap penjuru. Terkadang,warna pancainderanya itu
sering ditukar ganti kepada warna coklat gelap ataupun hazel. Segalanya mungkin
dengan hanya menggunakan kanta sesentuh hasil teknologi terkini.
Hidungnya
terletak elok di wajahnya. Kata orang,tanpa hidung cacatlah wajah. Dia tersenyum.
Dia sempurna dari segi itu. Sejenak pandangannya beralih pula ke arah bibirnya.
Walaupun bibirnya itu tidak merekah seperti delima,namun bibirnya itu mampu
memukau pandangan tiap kali dia mengatur bicara.
Lydia
memiliki kulit yang sedikit kekuningan selayaknya wanita Asia. Namun
demikian,pipinya akan tampak kemerah-merahan apabila berada di bawah sinaran
matahari. Wajahnya yang licin dan bebas jerawat itu sentiasa dijaga dengan
sepenuh hati. Tiada sebarang calar yang dibiarkan berada di situ.
Dia
tersenyum puas. Segala-galanya yang ada di wajahnya amat sempurna di matanya.
Dan juga di mata setiap manusia yang memandangnya. Mereka akan terhenti sejenak
untuk menatapnya lantas tercetuslah kekaguman secara lisan atau hanya di dalam
hati.
“Aku
memang cantik,”perlahan dia memusingkan badannya membelakangi cermin. Rambutnya
yang ikal beralun terhayun lembut mengikut rentak badannya. Semerta mukanya
berubah riak. Pada malam inilah,setahun yang lalu lelaki itu telah mencetuskan
kecelakaan di dalam hidupnya.Titik permulaan yang mencetuskan huru-hara.
Dia
masih ingat,malam itu dia dan teman sepejabatnya Sheila menghadiri majlis ulang
tahun perkahwinan majikan mereka. Majlis tersebut diadakan di banglo mewah
milik lelaki tersebut,dihadapan kolam renang. Lydia sedang duduk berseorangan
di situ tatkala seorang lelaki datang menyapa.
“Excuse
me. You ni model ke?” Lydia tersenyum mendengarkan pertanyaan tersebut.
Namun,dia hanya menggeleng lembut.
“Stewardess?”lelaki
itu lagi. Lydia mengangkat kening kehairanan. Bukan seorang dua yang pernah
menyangka dia seorang peragawati,jadi soalan tersebut sudah biasa baginya.
Berlainan pula dengan lelaki itu yang mengatakan dia seorang pramugari.
“Semua
bukan. I kerja dengan Encik Halim,bahagian finance,” Tanpa dipinta,lelaki
tersebut duduk di sebelahnya,di pinggir kolam renang.
“Tak patut betul papa letak
gadis cantik macam you ni kerja kat bahagian pentadbiran. You patut jadi model tau,” lelaki itu
menggelang kesal.
“Orang cantik macam I ni
memang untuk dijadikan tontonan ke?” soal Lydia sinis.
Lelaki itu tertawa kecil
menyedari ketelanjurannya,” Tak. Maksud I bukan macam tu I.”
Mereka terdiam seketika. Lydia
menumpukan pandangannya ke arah tetamu yang hadir. Mereka semua sedang bergembira
menikmati majlis tersebut. Tetapi tidak baginya. Dia rimas apabila berada di
tempat umum di mana kejelitaannya menjadi tontonan. Dia rimas dengan mata-mata
gatal yang memandangnya. Dia sesak!
“I tak kisahlah I ni orang
yang ke berapa cakap benda ni. Tapi I nak you tahu yang you memang cantik.
Gorgeous!” lelaki di sebelahnya menyambung bicara.
“Thanks. I tahu I
cantik,”balas Lydia bersahaja. Lelaki itu tersenyum. Mungkin tidak menjangka
akan mendapat respon yang sedemikian. Jarang benar orang mengakui tentang
kelebihan mereka. Gadis ini memang berani,desis hatinya.
“Reza,” lelaki itu
menghulurkan tangannya. Lydia memandangnya lalu tersenyum sinis. Gelas kaca
yang berada di tangan kanannya masih belum dilepaskan dari genggaman.
“Lydia,” sambutnya tanpa
menyambut huluran tanda persahabatan daripada lelaki di sebelahnya itu. Reza
tertawa kecil. Respon gadis itu sememangnya sudah dijangkakan berdasarkan sikap
dingin yang dipertontonkan pada awal perbualan lagi.
“I rasa I dah jatuh cinta
dengan you,” kata-kata yang keluar dari mulut sang jejaka mengundang tawa
Lydia.
Selepas perkenalan mereka pada
malam itu, Reza seringkali datang menemuinya. Bukan sahaja di pejabat,malah
lelaki itu selalu mengajaknya keluar bersama atas urusan kerja. Sudah
berkali-kali dia menolak dan cuba menjauhkan diri,namun Reza tidak berputus
asa.
Reza dengan beraninya
menyatakan niat untuk berkahwin dengannya. Malah,dalam masa 2 bulan sudah
beratus kali anak majikannya itu menyebut tentang perkara itu. Lydia bosan dan
rimas dengan keadaan itu. Dia belum bersedia untuk berkahwin. Dia belum
bersedia untuk sebarang komitmen.
Kesabarannya memuncak apabila
lelaki itu mengunjungi ibunya di rumah,6 bulan setelah perkenalan mereka. Pada
petang itu,ibunya menggesa Lydia pulang ke rumah kerana ada sesuatu yang ingin
dibincangkan. Lydia terpaksa menurutnya dengan perasaan sebal.
“Reza tu baik orangnya. Mama
tengok dia tu betul-betul ikhlas nak ambil Lydia jadi isteri dia,” suara ibunya
terngiang-ngiang di telinga. Lydia mendengus kecil. Hatinya terasa marah dengan
tindakan lelaki itu yang dirasakan melampaui batas.
“ Berani betul dia datang
jumpa mama,”amarah kecil terluah tanpa sengaja. Walaupun perlahan,namun sudah
cukup untuk didengari oleh ibunya.
“Dah dia tanya Lydia,Lydia
tolak. Dia datanglah jumpa mama,” Lydia masih berdiam diri. Dia tunduk tidak
berani menentang pandangan mata ibunya.
“Reza ni orang yang keenam
datang meminang Lydia. Lima orang dulu,mentah-mentah je Lydia tolak,” ibunya
mula mengungkit.
“Lydia belum bersedia nak kahwin,”
balas Lydia lemah.
“Kamu tu bukannya muda lagi
Lydia. Mama tak kira,kali ini mama terima pinangan Reza,” Lydia terasa darahnya
meruap naik ke muka. Reza memang lelaki yang baik tetapi dia tidak mahu
menerima lelaki itu sebagai suami. Malah mana-mana lelaki sekali pun. Dia tidak
mahu!
“Lydia tak nak. Mama tolong
jangan paksa Lydia!” Lydia bangun dari kerusi. Dia berdiri menghadap tingkap
rumah,membelakangi ibunya. Dia amat
menyayangi ibunya. Namun permintaan ini
terasa amat sukar untuk dipenuhi. Kerana Reza,mereka dua beranak berbalah. Hati
Lydia semakin terasa perit.
“Apa masalah kamu sebenarnya
Lydia?”suara ibunya bertambah tinggi.
“Lydia tak nak jadi macam
kakak. Suami dia kahwini dia sebab dia cantik. Lepas dapat anak,kakak dah tak
cantik macam dulu. Suami dia berkahwin dengan orang lain. Bukan satu,tapi dua!”
suara Lydia berselang-seli dengan tangisan. Apabila teringatkan nasib yang
menimpa kakaknya,hatinya jadi remuk.
“Kakak seorang isteri yang
baik. Dia berkorban segala-galanya untuk suaminya. Balasannya? Dia dimadukan
kerana tidak secantik dulu. Lydia tak nak jadi boneka kepada lelaki macam ni
mama. Lydia tak nak!” dia masih ingat sewaktu abang iparnya itu meminta
kakaknya memberi persetujuan untuk dirinya berkahwin lain.
Pada ketika itu, Lydia ada
bersama di rumah kakaknya. Dia menjadi saksi perbalahan pasangan suami isteri
itu. Ketika kakaknya meminta alasan kenapa suaminya berbuat demikian,dengan
sewenang-wenangnya lelaki tersebut menjawab bahawa isterinya itu sudah tidak
secantik dulu.
Lydia mengesat air mata yang mengalir di
pipinya. Dia berpaling menghadap ibunya. Matanya terbuka luas apabila melihat
ibunya sudah berada di lantai dengan tangannya berada di dada. Ibunya diserang
sakit jantung lagi! Lydia berlari mendapatkan ibunya.
Ibunya memang tidak boleh
mendengar cerita kakaknya diungkit-ungkit. Lydia menyesal kerana telah
menghamburkan perasaannya tadi. Jika apa-apa terjadi kepada ibunya,dia tidak
bisa memaafkan dirinya lagi.
Lydia terasa seperti separuh
dirinya telah mati. Ibunya benar-benar telah pergi meninggalkan dunia ini.
Walaupun berkali-kali kakaknya memujuknya,dia masih lagi menyalahkan dirinya
sendiri. Dia adalah pembunuh!
Dan kini dia bersendiri.
Hatinya sakit dan kosong tanpa ibu di sisi. Sewaktu majlis pengebumian ibunya,
Reza turut hadir dan menyatakan simpati. Namun Lydia terasa jelak dengan lelaki
itu. Kalau bukan kerana tindakannya,
Lydia tidak akan bertikam lidah dengan ibunya.
Jika Lydia tidak berbalah
dengan ibunya sudah tentu ibunya masih hidup lagi sehingga kini. Fikirannya
mulai pulih setelah lama tenggelam ke dasar. Bukan dia yang membunuh ibunya
tetapi lelaki itu lah yang menjadi punca utama.
Reza masih lagi belum berhenti
mengganggu hidupnya selepas itu. Lelaki itu lebih kepada memaksa dirinya kini.
Dengan berpegangkan alasan Lydia kini sudah tiada tempat bergantung,dia berasa
bertanggungjawab untuk menggalas amanah itu dengan menjadi seorang suami.
Lamunan Lydia bersepai.
Kenangan yang berlaku seakan-akan terimbau di fikirannya seperti sebuah filem
yang ditayangkan. Dia keluar dari biliknya lalu turun ke sebuah bilik di
tingkat bawah. Perlahan dia menolak pintu bilik tersebut.
Reza yang sedang duduk di
sebuah kerusi berpaling ke arahnya. Lelaki itu tampak lemah dengan tangan dan
kakinya terikat. Manakala mulutnya yang disumbat dengan kain,tiada daya
mengeluarkan sebarang suara. Lydia tersenyum puas.
Dia membuang kain yang
menyumbat mulut lelaki itu. Malam ini adalah malam kenangan. Setahun setelah
dia mengenali lelaki itu. Malah dia mengenakan pakaian yang dipakainya malam
itu.
“You memang cantik Lydia,”
kata lelaki itu lemah. Dia memang kagum dengan penampilan gadis itu yang
mempesona.
“Dalam keadaan macam ni pun
kau masih nak kata aku cantik. Kau memang gila Reza!”
“ Kenapa you buat I macam ni?”soal
Reza pula.
“Sebab kau dah bunuh mak aku!
Kau buat hidup aku kacau!”
“Mama meninggal sebab sakit
jantung Lydia. I bukan nak kacau hidup you. I nak kahwin dengan you. I
sayangkan you Lydia,”
“Aku tak nak kahwin dengan
kau! Kau tak faham ke? Berapa kali aku nak cakap!” Lydia menendang kerusi yang
diduduki oleh Reza. Dia kemudiannya mengambil sebilah pisau yang berada tidak
jauh dari situ.
Reza yang melihat perbuatannya menggeletar
ketakutan. Selama ini gadis itu sentiasa berlembut dengan dirinya. Malah tidak
pernah sekali pun meninggikan suara walaupun dalam keadaan marah. Gadis cantik
itu mengamuk nampaknya mala mini.
“ Kenapa kau nak kahwin dengan
aku?” suara Lydia tiba-tiba bergema di telinga Reza.
“ Sebab..”
“Sebab aku cantik kan! Kau tau,kecantikan
aku ini milik aku seorang. Aku tak nak berkongsi dengan orang lain,” Lydia
memainkan pisau pada pipi Reza. Terasa sejuk apabila logam itu bersentuhan
dengan kulit.
“Kau nak buat apa ni Lydia?”
kegentaran mula terasa di hati kecil Reza. Sangkanya tadi gadis itu cuma
bermain-main sahaja.
Lydia tersenyum sinis,” Aku
nak lenyapkan kau dari hidup aku! Selama ini aku beri kau peluang. Aku suruh
kau cari orang lain,tapi kau tak nak. Kau degil. Kau nak jugak kahwin dengan
aku. Sekarang terima la akibatnya sayangku Reza,” Lydia tertawa kecil. Ketawa
yang meraikan kemenangannya malam ini walaupun nyawa lelaki itu masih belum
ditamatkan lagi.
“Kau dah gila Lydia!” Reza
meninggikan suara. Dia mencuba untuk melepaskan diri namun ikatan pada tangan
dan kakinya terlalu kemas untuk dirungkai.
“Kecantikan ini milik aku
seorang,” Lydia tidak mempedulikan kata-kata lelaki itu. Sejurus menghabiskan
kata-katanya dia membenamkan pisau pada dada lelaki tersebut. Darah pekat
keluar membuak-buak seperti mata air. Mata Reza terbelalak menanggung kesakitan
apabila diri didatangi ajal.
Lydia menunggu sehingga lelaki
itu tidak bergerak lagi. Dia tersenyum puas. Tiada lagi manusia yang akan
menganggu hidupnya nanti.
“Dah mati pun masih nak tengok
kecantikan aku lagi,” katanya sinis. Dia bebas. Kini kecantikannya itu hanya
miliknya seorang.
No comments:
Post a Comment